Pages

January 31, 2009

Belanja berhemah ketika kegawatan

KETIKA kelembapan ekonomi global yang nampaknya semakin ketara kesannya terhadap kita semua, pengguna dinasihatkan supaya menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dan berbelanja dengan berhemah.

Tempias kesan kelembapan ekonomi global sudah mula menapak ke negara kita. Yang paling terasa kesannya kini adalah peniaga. Sebagai contoh, perniagaan kereta terpakai menyusut sekali prestasinya.


Ada peniaga yang dalam keadaan biasanya boleh menjual 10 kenderaan sebulan kini tidak lagi mampu mencapai angka jualan sedemikian. Jualan kenderaan baru juga tidak begitu memberangsangkan berbanding bulan terdahulu.

Di tambah lagi dengan peraturan ketat dikenakan pihak industri perbankan sekarang ini yang nampaknya membantu mengusutkan lagi keadaan.

Pulangan pelaburan juga sudah semakin berkurangan. Rata-rata pelabur yang ada mengamalkan sikap tunggu dan lihat dengan memilih untuk beristirahat daripada terus berurus niaga buat beberapa ketika sementara menunggu keadaan pasaran pulih kembali seperti sedia kala. Yang jelasnya pada masa ini, Bursa Malaysia semakin suram dan terus muram.

Pengguna kini perlu berhati-hati dalam berbelanja. Apatah lagi jika ia membabitkan perbelanjaan besar. Jika dulu hanya berfikir sekali sebelum membeli, kini nampaknya, mungkin harus difikir sehingga empat lima kali baru boleh angguk kepala.

Kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa juga menyebabkan pengguna perlu menyenaraikan semula segala perbelanjaan yang mahu dibuat dan sedang dirancang atur untuk melihat hanya yang penting saja diutamakan. Yang tidak penting harus ditangguhkan dulu buat seketika waktu.

Lihat saja situasi berikut ini. Mungkin ada di kalangan kita pengguna, yang dulunya merokok sehingga dua tiga kotak dalam sehari, kini mungkin terpaksa mengubah caranya kepada hanya merokok dua batang saja dalam sehari. Sukar dan pedih dirasakan, tetapi kos untuk penjimatan perlu dicari walaupun terpaksa berkorban hobi. Berhenti merokok sama sekali, terasa juga kepayahannya.

Ada pula di kalangan kita, yang hobinya selalu membeli-belah ke luar negara. Mungkin kini tiba masanya untuk anda membeli-belah di Langkawi saja. Jika boleh cari penerbangan tambang paling murah untuk ke sana.

Kita dapat melihat pada ketika ini kadar kenaikan gaji dan kenaikan harga barang adalah tidak selari. Jumlah gaji diperoleh boleh dikatakan tidak selaras dengan peningkatan kos sara hidup. Walaupun harga minyak sudah turun, harga barang pengguna lain masih tetap sama. Oleh itu, kesannya masih dan tetap terasa.

Bagi yang bujang kesannya mungkin tidak seberapa, tetapi bagi yang beranak lima perbelanjaan dapur pasti saja tidak boleh dikurangkan. Harus tetap sama banyaknya. Jadi pilihan jalan keluar yang ada hanya dengan mengurangkan kegiatan luar dan memotong bajet membeli-belah.

Kepada isteri dan ibu kita, inilah masanya anda terpaksa rela berkorban untuk tidak lagi selalu bertukar sepatu atau sebulan satu bertukar kain baju. Berbelanja apabila perlu saja. Atur semula bajet supaya kita tidak membazir.

Aktiviti makan di luar juga rasanya perlu dikurangkan. Kita perlu berjimat-cermat. Lagipun kita sebenarnya perlu menghidupkan semula amalan makan sekeluarga. Memasak sendiri dengan belanja yang satu perempat lebih murah berbanding dengan makan di luar, malah kita juga boleh menikmati hidangan yang sama lazatnya, sama menunya.

Dalam bab pelajaran dan tuisyen anak, mungkin juga boleh dikaji semula. Hantar mereka untuk tuisyen subjek yang perlu saja.

SYED MAZLAN SYED MAT DOM,
UiTM, Kampus Bandaraya Johor Bahru.

(sumber: berita harian/31 jan 2009)

1 comment:

  1. betul tu...saya pon dah rasa duit semakin kecil...
    belanja sikit tapi duit keluar banyak

    ReplyDelete

News

TV3TV9 dekat dihati NTV7 Berita Harian Baca paper... .: Harian Metro :.Your Independent News [ Malay Mail]